Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya mengejutkan anda. Anda tidak sepatutnya terkejut atau buat-buat terkejut. Kerana ini adalah realiti, terutama di dalam industri kosmetik di Malaysia.
Semua orang terkesan. Hampir semua orang terkena.
Umumnya, tidak salah menggunakan kaedah pemasaran bahkan adalah satu perkembangan yang positif apabila komuniti bisnes di Malaysia semakin matang dan bijak mengaplikasi kaedah-kaedah pemasaran terkini yang terbukti berkesan.
Di dalam konteks ini, bukanlah kaedah yang salah, tetapi kelompok yang telah menyalahgunakan kaedah untuk tujuan yang salah.
Tidak boleh juga menyalahkan pengguna atau masyarakat semata-mata sebagai tidak bijak atau kurang berhati-hati.
Artikel ini ingin membicarakan kesalahan dari sudut golongan yang kecil iaitu social media influencer dan perniagaan yang menggunakan perkhidmatan dan strategi ‘jahat’ Machiovelli terhadap golongan yang ramai iaitu ‘public at large’.
Terang-terangan menipu testimoni pelanggan
Selalu kita terjumpa testimoni produk yang ‘menggila-gila’ kehebatannya. Seolah-olah produk ajaib. Seolah-olah produk yang baru turun dari syurga.
Bukan 1 atau 2 testimoni, malah berpuluh beratus-ratus. Tetapi, selang beberapa bulan atau paling lama sekitar 2 tahun, produk akan hilang daripada pasaran.
Kenapa hilang? Anda fikirkan sendiri.
Tetapi janganlah terlalu ‘naive’ mengatakan kerana semua manusia telah sembuh daripada masalah yang diselesaikan dengan penggunaan produk tersebut atau masalah tersebut telah pupus setelah kewujudan produk tersebut di pasaran dan produk terpaksa disimpan kerana tidak lagi diperlukan.
Itu adalah dongeng!
Di Malaysia belum ada penguatkuasaan undang-undang spesifik berkaitan penggunaan testimoni palsu atau testimoni yang bersifat manipulatif.
Sekitar tahun 2022, India telah memulakan penguatkuasaan standard dan perundangan berkaitan masalah penggunaan testimoni pelanggan yang manipulatif atau palsu.
Bureau of Indian Standards (BIS) dan Kementerian Hal-Ehwal Pengguna (India) telah memperkenalkan ‘Indian Standard (IS) 19000:2022’, Online Consumer Reviews Principles and Requirements for their Collection Moderation and Publication’.
#Sumber: Times of India | https://timesofindia.indiatimes.com/blogs/voices/uprooting-fake-review-requires-action-against-review-brokers/
Seadilnya, sudah sampai masanya Malaysia juga mempunyai peruntukan perlindungan pengguna sebegitu dan disertai oleh penguatkuasaan yang ketat dan serius. Tanpa penguatkuasaan serius, alamat akan menjadi seperti larangan merokok di restoran yang telah diperkenalkan ketika KJ (YB Khairi Jamaluddin) menjadi Menteri Kesihatan.
Tetapi, di dasar isu berleluasanya testimoni pelanggan yang palsu ini adalah ‘ejen-ejen’ yang terdiri daripada para influencer yang bermuka cantik ‘innocent‘ atau ‘baby face‘ & bermulut manis.
They are the real culprits! The social media influencers.
Pemilik perniagaan, mengejar laba maksima.
Influencer mengejar komisen/bayaran maksima. Lebih banyak pengguna yang berjaya ‘disihir’, lebih hebat. Lebih hebat, lebih banyak ‘demand’ untuk mempromosi produk lain lagi.
Tanpa influencer yang tidak bertanggungjawab, pemilik perniagaan sukar untuk melaksanakan agenda matlamat keuntungan Machiovellian mereka.
Yang menjadi mangsa, seperti selalu, adalah masyarakat marhaen.
Bukan mudah mendidik masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapis, tahap pendidikan serta tahap pemikiran. Kerana itu, jalan paling tepat adalah ‘menghapuskan’ kewujudan Influencer atau Ahli Sihir yang jahat atau sekurang-kurangnya meletakkan sesuatu yang boleh melemahkan ‘sihir’ yang dilemparkan oleh golongan ini.